Saturday, June 29, 2013

Cerpen : Cinta Bunga Idriani

Protected by Copyscape DMCA Copyright Search


             “Oh my! I menang ke ni, honey?” Bunga Idriani terjerit kecil setelah namanya diumumkan sebagai pemenang pereka terbaik bagi acara tahunan rekaan dan pertunjukkan fesyen peringkat universiti.

“Yes, honey. You menang. Come, give me a hug,”kata Rizman pada kekasih hatinya. Cepat dia menarik tubuh Bunga Idiriani ke dalam pelukannya tanpa mempedulikan berpasang-pasang mata yang memandang.

“Oh, I don’t believe it, honey,” balas Bunga Idriani yang turut erat memeluk Rizman.

“Ehem, orang dah lama tunggu you, Cik Bunga. Kami kat sini tak tengok you guys macam beruang kuala peluk-peluk macam ni.”

Tiba-tiba ada suara garau menegur gelagat mereka dari belakang. Pantas Bunga Idriani meleraikan pelukan mereka.

“Hey, you ni kenapa..” Baru sahaja dia hendak memaki hamun lelaki di belakangnya itu, mulutnya terkunci dek paras rupa yang jelas-jelas menggugat naluri wanitanya. Kacak, tinggi, berdada bidang. Matanya sedikit sempit tetapi ianya seolah tersenyum biarpun wajah lelaki itu serius sekali.

“Sayang, orang dah panggil tu. Pergilah naik cepat. Tak payah layan sangat lelaki ni. Dia cemburukan kitalah kot.”

Suara Rizman mengembalikan Bunga Idriani ke alam nyata. Dia mengetap bibirnya dan tanpa menunggu lama dia melangkah ke arah pentas dengan perasaan bercampur-baur dan yang pastinya, jantungnya sedang berdegup kencang. Dia sendiri tidak pasti mengapa tetapi yang dia yakin, sejak dia terpandang wajah bersahaja lelaki yang menegurnya sebentar tadi.

***
            “Mummy, daddy, Rian won the best fashion designer this year. Tak sangka akhirnya dapat jugak merasa award ni. Final semester baru rasa kot, mom, dad. I’m so happy. Rugi mummy dengan daddy tak datang semalam tau,” cerita Bunga Idirani pada kedua ibu bapanya tika mereka sedang menikmati sarapan pagi bersama.

“Wah, tahniah sayang! Daddy tahu anak daddy ni memang berbakat cuma sebelum ni bukan rezeki Rian lagi nak menang award tu,” tutur Datuk Idham ceria. Bangga juga dia dengan pencapaian anak perempuannya yang satu itu. Biarpun Bunga Idriani tidak mahu mengikuti jejak langkah dia dan anak sulongnya Megat Ilham dalam bidang perniagaan, dia tidak pernah menjatuhkan semangat anak perempuannya itu. Dia tahu, masing-masing ada citarasa dan minat sendiri. Lagipula bidang fesyen ini juga tidak kurang hebatnya.

“Thanks, daddy tapi kenapa mummy macam tak happy je?” Bunga Idriani perasan riak Datin Imah tidak ceria pagi itu. Pasti ada yang tidak kena.

“Mummy happy kamu menang award tu tapi apa yang mummy tak happy, kamu tak pandai jaga batas pergaulan kamu,” ujar Datin Imah terus-terang. Sakit juga hatinya apabila pagi-pagi lagi dia mendapat panggilan daripada temannya mengatakan semalam anak daranya itu berpelukan dengan Rizman.

“Apa maksud mummy?” soal Bunga Idiriani pelik.

“Tadi Puan Sri Aisyah call mummy. Kata kamu dengan Rizman peluk-peluk. Kamu ni memanglah, Rian. Kamu tu dah besar panjang. Mummy dan daddy izinkan kamu masuk bidang ni tak bermakna kami izinkan kamu berkelakuan bebas. Jaga batas-batas kamu. Mummy malu tahu tak bila Puan Sri bagitahu macam tu pada mummy. Seolah mummy tak pandai jaga anak.” Datin Imah memuntah perasaan yang dipendamnya.

Bunga Idriani menggaru kepala yang tidak gatal. Dia sudah agak, pasti anak Puan Sri Aisyah yang sememangnya sering cari pasal dengan dia akan buat laporan hangat itu pada mummynya.

“Kenapalah Si Sally tu mulut mengalahkan bontot itik. Hish.. Tension betul,” gumam Bunga Idriani.

“Mulut orang tak boleh ditutup, Rian tapi kamu tu yang kena jaga pergaulan. Kamu dengan Rizman tu bukan ada sebarang ikatan yang sah. Daddy tak suka kisah tak elok kamu jadi buah mulut orang, Rian,” giliran Datuk Idham pula menasihati Bunga Idriani. Dia tidak suka berleter tetapi apabila masuk bab maruah, dia harus bersuara.

Bunga Idriani sudah hilang selera makan. Dia hanya menguis-nguis nasi goreng di dalam pinggannya. Apabila kedua ibu bapanya bersuara, dia tidak berani untuk menjawab.

“Rian, mummy tak suka kamu kawan dengan Rizman. Dia bukan budak baik. Berapa kali mummy cakap pada kamu. Kenapa kamu tak dengar-dengar jugak?”

“Tapi Rian sayang dia, mummy,” jawab Bunga Idriani perlahan.

“Rian, kalau dia yang Rian sayang, lupakan. Mummy tak nak Rian merana kerana dia. Ingat pesan mummy ni.”

***

            Hampir empat puluh lima minit Bunga Idriani menati Rizman datang menjemputnya di kampus namun kelibatnya tak juga kelihatan. Berkali dia menghubungi Rizman tetapi satu panggilan pun tidak terjawab. SMS apatah lagi.

“Rian, tak balik lagi?” soal Nad yang baru siap bertemu dengan pensyarah mereka. Shiela juga ada bersamanya.

“Belum. Entah Rizman ni. Call tak dapat,” keluh Bunga Idriani.

“Tak datanglah tu. Jomlah ikut kami. Nanti kitaorang hantar kau balik. Nak?” sampuk Shiela.

“Pergi mana?”

“SACC mall je. Guess ada new arrival tau. Jomlah,” pancing Nad yang sebetulnya sudah tahu minat Bunga Idriani. Pantang ada beg tangan new arrival jenama Guess, laju sahaja dia ke outlet jenama tersebut.

“Really? Okaylah. Aku join. Tak sabar nak tengok new arrival ni.”

***
            Masuk sahaja ke ruang legar pusat membeli-belah itu, destinasi pertama yang mereka tuju tak lain dan tidak bukan outlet Guess yang berada di Ground Floor.

“Nad! Shiela! Weh cantik gila beg ni,” ujar Bunga Idriani teruja. Cepat sahaja dia menerkam sebuah beg tangan berwarna striking pink yang dipamerkan di rak New Arrival.

“Memanglah cantik, beb. Harga pun cantik,” balas Shiela.

“RM 2500.. Hmm. Worth it kot, Shiela,” jawab Bunga Idriani. Dia tidak kisah pasal harga, yang penting koleksinya lengkap.

“Kau tu memang.”

“Weh..Weh.. Weh..” Tiba-tiba Nad yang menyepi sedari tadi menarik-narik tangan Bunga Idriani. Matanya sedang melihat sesuatu di luar kedai itu.

“Kau kenapa, Nad?” soal Bunga Idriani.

“Tu..Tu.. Bukan Rizman ke?” Nad memuncungkan bibirnya ke suatu sudut.

Bunga Idriani mengecilkan matanya. Iya, betul. Dia kenal sangat lenggok Rizman tetapi siapa perempuan berambut perang di sampingnya. Bukan main mesra lagi. Siap lentokkan kepala atas bahu Rizman lagi.

“Aku nak pergi sana kejap.” Bunga Idriani tekad. Dia harus bersemuka dengan Rizman.

            “Hai,” sapa Bunga Idriani dengan suara yang sedang dikawal.

“Eh..Erk.. You.. Rian?”  Jelas perubahan di wajah Rizman. Kalut dia meleraikan pegangan wanita di sampingnya itu.

“Yes. I’m Rian. Your girlfriend,” sengaja Bunga Idriani menekan perkataan yang hujung itu.

“What? Girlfriend? Habis tu I ni siapa,Rizman?” Perempuan di sebelah Rizman itu sudah mula melenting.

“Erk. Sayang.. Sabar okay. Maksud dia, dia kawab perempuan I. You special buat I,” Rizman menenangkan perempuan itu tanpa sedikit pun mempedulikan perasaan Bunga Idriani.

Darah Bunga Idriani sudah membuak-buak.  Pang! Satu tamparan hinggap di pipi Rizman.

“What are you doing, Rian?!” jerkah Rizman yang terkejut dengan tindakan Bunga Idriani.

“You deserve it, bastard! Penipu! Dasar kaki buaya! Jantan..”

Pang!

“Rian!” jerit Nad dan Shiela serentak.

Bunga Idriani yang tadinya menjerit bagai tak ingat dunia, senyap. Sebelah tangannya menyentuh pipi kanan yang terasa pijar dek ditampar Rizman.

“Mulut you tu jaga sikit. Dahla, baby. Jom kita pergi. Tak payah nak layan budak hingusan macam ni.” Rizman menarik tangan ‘baby’nya dan membiarkan Bunga Idriani yang masih tercengang bersama teman-temannya.


***

            “Mummy, kenapa dia buat Rian macam ni? Rian sayang dia. Dia janji dengan Rian, dia nak kahwin dengan Rian bila Rian dah grad nanti. Mummy, hati Rian sakit sangat. Tolonglah Rian, mummy,” rintih Bunga Idriani di dalam dakapan Datin Imah.

Sebaik Rizman berlalu, Nad dan Shiela cepat-cepat membawa Bunga Idriani pulang. Sepanjang perjalanan pulang, Bunga Idriani tak berhenti menangis. Sampai sahaja di rumah, laju dia mendapatkan Datin Imah. Mujur Nad dan Shiela ceritakan semuanya pada Datin Imah. Nak harapkan Bunga Idriani membuka mulut, memang taklah. Asyik menangis, merintih saja kerjanya.

“Rian, dahla. Jangan macam ni. Mengucap. Istighfar. Rian patut bersyukur sebab Allah dah tunjukkan siapa Rizman sebenarnya. Mummy cakap, Rian tak percaya. Allah dah tolong mummy tunjukkan semuanya. Rian anak yang baik. Mummy percaya Rian akan dapat seorang lelaki yang baik untuk menjaga dan mendidik Rian suatu hari nanti. Percayakan takdir dan kuasa Allah, sayang,”pujuk Datin Imah lembut. Tersentuh naluri keibuannya melihat keadaan anaknya yang sebegitu rupa.

“Semua lelaki jahat, mummy. Rian tak nak percayakan mana-mana lelaki dah lepas ni. Semua lelaki jahat,” ujar Bunga Idriani dalam keadaan teresak-esak. Hatinya patah seribu.

“Tak semua lelaki jahat, sayang. Tengok daddy, abang Ilham. Diaorang tak jahatkan? Dan mummy percaya ada seorang lelaki yang baik diatur Allah untuk anak mummy.”

Bunga Idriani tidak menjawab lagi. Dia hanya menangis dan menangis.

“Rian, apakata Rian ikut mummy dan daddy buat umrah minggu depan. Nak? Mana tahu hati anak mummy ni terawat di sana nanti dan Allah temukan jodoh Rian dengan seorang lelaki yang soleh. Rian ikut iya. Mummy bagitahu daddy.”

“Boleh ke Rian pergi sana?”

“Boleh, sayang.”
  
***
            Kerdilnya diri saat berada di Tanah Suci itu tidak dapat digambarkan oleh Bunga Idriani. Ketenangan yang dia rasakan itu tidak pernah dirasainya di mana-mana. Setitis demi setitis air matanya membasahi pipi mulusnya tika dia duduk berteleku di dalam Masjidil Haram.

Rian,kita doakan kebahagian Rian dan seluruh ahli keluarga kita iya. Doakan jodoh Abang Ilham dan jodoh Rian dengan orang yang baik-baik,” bisik Datin Imah perlahan.

Rian mengangguk.

“Ya Allah, Ya Tuhanku, Kau ampunilah segala dosa hambaMu ini yang Allah. Ternyata aku sering lalai terhadap nikmat yang Engkau kurniakan. Ya Allah, aku bersyukur menjadi salah seorang tetamu di rumahMu ini Ya Allah. Tiada apa yang dapat aku gambarkan selain merasa begiti kerdil untuk berhadapan denganMu. Tiada apa yang dapat aku rasakan, melainkan ketenangan yang tidak pernah aku rasai di mana-mana. Alhamdulillah, Ya Allah. Ya Allah, Yang Maha Pengasih, Engkau limpahkanlah kebahagiaan yang berpanjangan buat keluarga kami. Kau aturkanlah perjalanan hidup yang terbaik buat kami. Ya Allah, jika Rizman bukan jodohku dan bukan yang terbaik untukku, jauhkanlah hatiku dengan hatinya. Kau temukanlah aku dan tautkan jodohku dengan seorang insan yang mampu membimbingku menuju redhaMu, Ya Allah. Hanya padaMu aku berserah. Hanya padaMu aku memohon. Kau perkenankanlah permintaan hambuMu ini, Ya Allah.” Panjang lebar Bunga Idriani memanjatkan doa pada Sang Pencipta dengan penuh rasa rendah diri.

            “Rian, sudah?” soal Datin Imah setelah anaknya itu mengaminkan doanya.

Bunga Idriani mengangguk sambil menyeka tubir matanya.

“Jom kita keluar. Nanti kita datang lagi malam nanti,”ajak Datin Imah.

Bunga Idriani hanya menurut. Sebaik berada di ruang kasut yang disediakan di luar masjid, bahunya tidak semena dilanggar oleh seseorang. Bunga Idriani automatik menoleh.

“Bu..nga?”

Membulat mata Bunga Idriani dek terlampau terkejut dengan santapan matanya tika itu.

“Adrian kenal dia? Orang Malaysia?” soal seorang wanita dalam lingkungan lima puluh-an.

Lelaki yang dipanggil Adrian tadi mengangguk.

“Maafkan makcik iya, nak. Makcik tak sengaja langgar kamu tadi. Ada yang menolak dari belakang,” ujar wanita itu.

“Erk. Tak mengapa, makcik,” jawab Bunga Idriani pendek. Dia masih canggung dengan situasi itu.

“Saling mengenal ke?” sampuk Datin Imah.

“Saya Tengku Adrian. Panggil Adrian aje. Pernah jumpa sekali dengan Bunga waktu Fashion Show hari tu.”

‘Tengku Adrian namanya,’ detik Bunga Idriani.

“Oh, tak sangka boleh jumpa di sini untuk kali kedua kan Bunga?” soal Tengku Adrian lembut.

Senyuman manisnya dengan ‘smile-eyes’ itu cukup membuat Bunga Idriani tidak keruan. Apakah ini satu petanda daripada Nya?
***

            Mesra bukan main Datuk Idham dan Datin Imah melayan kenalan baru mereka, Tengku Ahmad dan Tengku Asnah, ibu bapa kepada Tengku Adrian. Siap ajak makan sekali lagi dan yang tak senang duduk bagai cacing kepanasannya pastilah Bunga Idriani. Lain pula dengan Tengku Adrian. Lelaki itu turut rancak berbual bersama orang tua mereka.

“Rian, senyap aje. Kenapa?” soal Datuk Idham dan semua mata sudah tertumpu padanya.

Bunga Idriani menggeleng laju. “Tak ada apa-apa. Segan saja.”

Datin Imah senyum. “Rian ni memang macam ni. Kalau dah lama kenal, rancaklah dia.”

“Saya nak ambilkan pencuci mulut. Bunga nak apa-apa?”

Bunga Idriani menoleh memandang lelaki di sebelahnya, tidak percaya lelaki itu baik benar hendak mengambil pencuci mulut untuknya.

“No, thanks,” jawab Bunga Idriani pendek dan kesemua orang tua mereka sedang tersenyum penuh makna.

“Rian dah berpunya ke, Imah?” soal Tengku Asnah terang-terang di depan Bunga Idriani. Merah sungguh muka Bunga Idriani tika itu menahan malu dan rasa terkejut. Mujur Tengku Adrian tiada masa itu.

“Belum, Nah. Sedang mencari. Adrian tu sudah ada yang punya ke?” balas Datin Imah.

“Isk, kamu ni Imah. Orang kacak dan bekerjaya macam Adrian tu takkanlah solo lagi,” sampuk Datuk Idham sambil ketawa kecil.

“Itulah masalahnya, datuk. Umur sudah meningkat, kerjaya dah stabil, rupa pun boleh tahan tapi tak ada yang punya. Memilih sangat. Yang itu tak nak, yang ini tak nak. Entah macam mana lagi kami nak cari untuk dia,” kata Tengku Ahmad.

“Dah ada depan mata mama dan papa. Cepatlah masuk meminang.”

Dup! Mahu jatuh jantung Bunga Idriani dibuatnya mendengar kenyataan daripada suara itu. Entah bila masa dia muncul. Cepat gila!

“Kamu biar betul Adrian?” Keceriaan Tengku Asnah tidak dapat dibendung lagi. Dia kenal benar anak terunanya. Kalau dia suka, dia akan cakap depan-depan.

Tengku Adrian meletakkan semangkuk buah dan melabuhkan punggung di tempatnya tadi.

“Iyalah, mama. Kalau Aunty dan Uncle setuju dan yang penting Bunga setuju.”

‘Oh, Tuhan?’ Bunga Idriani bagai mahu menyorok di bawah meja.

“Rian macam mana?” soal Datin Imah. Tak sabar-sabar nampaknya untuk bermenantukan Tengku Adrian. Pelik sungguh. Biasanya tentu Datin Imah akan menyiasat latar belakang lelaki yang berkawan denga Bunga Idriani terlebih dahulu. Ini jumpa sekali, sudah terpikat.

“Orang kata, senyap tu tanda setuju. Balik nanti bolehlah kita satukan mereka, Imah.” Kedua-dua ibu sedang membuat kata sepakat. Pihak bapa hanya tersenyum simpul.

“Awak cantik bertudung,” bisik Tengku Adrian tiba-tiba dan kemudian dia selamba saja menyuapkan buah ke dalam mulutnya.



***
            Dua bulan berlalu..

            Jantung Bunga Idriani laju gila mengepam darah ke seluruh badan. Sekejap sahaja lagi status dirinya bakal bertukar. Sukar untuk dia percaya. Sekejap sahaja masa berlalu. Pertemuan dia dan Tengku Adrian kali kedua di tanah suci bakal mengikat dia kepada lelaki itu. Pulang sahaja dari sana, kedua orang tua mereka mengatur semuanya dengan lancar hingga ke detik ini dan dalam tempoh dua bulan itu juga dia mengenali Tengku Adrian. Ternyata lelaki itu jauh bezanya daripada Rizman. Dia seorang yang terlalu berpegang pada agama biarpun lagaknya begitu bersahaja. Sepanjang Bunga Idriani rapat dengannya, Tengku Adrian sering mengingatkan dia perihal solat, aurat dan soal agama yang lain. Dia juga  seorang yang cukup menjaga batas pergaulan, seorang yang cukup tegas pendiriannya namun di sebalik itu dia seorang yang cukup romantis. Kata-kata dan keprihatinannya sudah cukup membuat Bunga Idriani.

“Rian, kacaknya bakal suami kau. Sesuai sangat dengan kau,” Nad tersenyum-senyum mengusik Bunga Idrian sebaik Tengku Adrian bersila menghadap Datuk Idham, wali yang akan menikahkan mereka berdua.
Bunga Adrian hanya tersipu malu. Dia akui bakal suaminya itu terlalu segak dengan baju melayu putih bersongket merah jambu itu. Sedondon dengan busana yang digayakan Bungan Idriani.

“Bismillahirrahmanirrahim, Tengku Adrian bin Tengku Ahmad.” Suasana dewan tak semena menjadi sunyi sepi apabila Datuk Idham memulakan acaranya.

“Ya, saya,” jawab Tengku Adrian.

“Aku nikahkan akan dikau dengan anakku Bunga Idriani binti Idham dengan mas kahwinnya empat dinar tunai,” lafaz akad diungkapkan Datuk Idham satu-persatu.

“Aku terima nikahnya Bunga Idriani binti Idham dengan mas kahwinnya empat dinar tunai.”

“Sah?”

“Sah!”

Akhirnya dengan sekali lafaz sakinah itu, penyatuan dua jiwa antara Bunga Idriani dan Tengku Adrian akhirnya termeterai. Usai doa dialunkan, Tengku Adrian menghalakan penglihatannya pada Bunga Idriani. Secalit senyuman bahagia dilemparkan buat si isteri di sudut sana. Hanya dengan bahasa mata, Bunga Idriani sudah faham apa yang dimaksudkan suaminya. Tengku Adrian mahu menjadi imamnya buat kali pertama. Dia mahu mereka sama-sama melaksanakan solat sunat. Rancangan ini sejak awal dulu lagi. Ketika mereka mahu menempah busana. Tengku Adrian inginkan busana yang simple tetapi elegant dan yang penting menutup aurat.Sesuai untuk dibuat solat.

“Mummy, Rian nak solat sunat dengan Adrian,” pintanya pada Datin Imah.

Datin Imah dan Tengku Asnah saling berpandangan dan mereka serentak mengangguk. Nad dan Shiela masing-masing memimpin Bunga Idriani ke tempat yang dikhususkan untuk mereka menunaikan solat.

            “Ya Allah, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, kami bersyukur padaMu kerana akhirnya termetrai jua hubungan yang suci ini. Moga rumah tangga kami diiringi sakinah dan rahmatMu. Jadikanlah kami pasangan yang Engkau redhai. Dengan izinMu dan kuasaMu, kurniakanlah kami penyejuk di mata dan penawar di hati kami yang taat pada perintahMu. Rabbana atina fid dunya hasanah, wa fil akhirati hasanah, wa qina azabannar. Amin Ya Rabbal Alamin.” Tengku Adrian meraup tangan ke wajahnya usai doa selepas solat dibacakan. Begitu juga Bunga Idriani.

“Sayang..” seru Tengku Adrian yang kini sedang duduk menghadap Bunga Idriani. Inilah kali pertama dia memanggil Bunga Idriani dengan panggilan itu.

“Abang..” balas Bunga Idriani dengan suara yang bergetar.

Tengku Adrian tersenyum. Dia mencapai tangan Bunga Idriani lembut dan cincin yang dihulurkan Tengku Asnah disarungkan ke jari manis isterinya. Bunga Idriani turut melakukan perkara yang sama dan sejurus cincin disarungkan ke jari manis suaminya, dengan penuh rasa hormat dia mencium belakang tangan Tengku Adrian. Setitis air mata menitik dan cepat-cepat Tengku Adrian memaut dagunya. Dua pasang mata itu bertaut.

“Abang cintakan Bunga Idriani seumur hidup abang,” ucapnya seraya menghadiahkan satu kucupan syahdu pada ubun-ubun Bunga Idriani.

“Terima kasih untuk segalanya, abang,” tutur Bunga Idriani.

***
            “Sayang abang ni penat sangat ke?” Tengku Adrian memeluk pinggang Bunga Idriani sebaik sahaja mereka berdua masuk ke bilik hotel yang disewa khas untuk mereka.

Bunga Idriani hanya mampu tersenyum. Dalam hatinya, hanya Tuhan saja yang tahu. Kehangatan pelukan Tengku Adrian seakan membawa dia keawang-awangan.

“Penat sikit saja, abang tetapi okaylah. Majlis akad nikah dan resepsi sekali terus. Esok tak payah nak fikir apa-apa dah.”

Tengku Adrian mengangguk. Itu semua ideanya. Atucara akad nikah pada waktu petang dan malamnya terus dilangsungkan majlis resepsi di hotel pula.

“Sayang..”

“Hmm”

“Terima kasih sebab sudi terima abang walaupun keputusan kita ni macam cepat sangat kan? Abang sendiri tak percaya mudahnya Allah mengatur jodoh pertemuan kita.”

Bunga Idriani mengangguk. Setuju dengan kata-kata suaminya. “ Iya, abg. Tup-tup kita dah kahwinkan abang. Padahal baru aje kenal. Tak bercinta pun.”

Tengku Adrian mengetatkan pelukannya. “Bercinta bertahun-tahun tak semestinya akan kahwinkan, sayang dan tak bercinta tak semestinya tak akan kahwin.”

“Betul, abang. Abang, sepatutnya Bunga yang ucapkan terima kasih pada abang sebab sudi terima Bunga seadanya. Abang pun tahu siapa Bunga. Bunga bukan seorang wanita yang baik. Tak pandai menjaga batas Bunga sampai ada orang tu tegur kita kat show hari tu.”

Meletus tawa di bibir Tengku Adrian. Dia memegang bahu Bunga Idriani dan dipusingnya tubuh kecil itu agak menghadapnya. Hidung mancung Bunga Idriani ditarik perlahan.

“Abang pun tak tahu kenapa abang boleh tegur sayang macam tu. Allah dah bagi abang petanda. Bila abang dengar orang panggil nama sayang, abang rasa unik sangat nama tu. Bila abang nampak sayang pula, dada abang ni macam nak pecah. Memang sayang terlalu unik buat abang. Pertemuan kita di Masjidil Haram meyakinkan lagi abang bahawa sayanglah permaisuri yang abang cari. Sayang yang terbaik buat abang. Sayang, abang nak minta sesuatu boleh?”

Bunga Idriani mengerutkan dahinya. Tiba-tiba darah gemuruhnya kembali menggelegak. Mungkinkah suaminya itu menginginkan haknya?

“A..pa dia?” tanya Bunga Idriani gugup.

“Sudikah Bunga Idriani bercinta dengan abang?”

Bunga Idriani pantas menyembamkan wajahnya ke dada Tengku Adrian.

“Bunga Idriani sudi bercinta dengan Tengku Adrian hingga ke jannah,”tutur Bunga Idriani bersungguh.

“Pimpin Bunga agar berlayar mencari maghfirahNya bersama abang iya?”sambung Bunga Idriani.

“InsyaAllah, sayang.”

Bunga Idriani dan Tengku Adrian hanyut dengan bahagia yang terbina. Janji mereka bukan janji sehidup semati tetapi janji untuk bersama mencari cahaya Maha Esa. Mereka bertemu tetapi mereka tidak pernah bercinta. Qadak dan Qadar tiada siapa yang tahu. Catatan di Loh Mahfudz rahsia di Sang Pencipta.

p/s: Semoga terhibur dengan cerpen CBI yg saya tulis ni. cerita yg ringkas namun harapnya boleh memberi pengajaran pada kita. kisah ini tiada kena mengena antara hidup dan yang mati ek.hee. rekaan semata-mata namun saya akui kisah Irma dan Redza adalah sumber inspirasi saya. seriously setiap kali tengok video perkahwinan mereka hati saya tersentuh dan mmg dah lama saya nk tulis kisah beinspirasikan mereka.. yg buruk itu kelemahan diri saya sendiri.  Kebetulan hari ni anniversary pertama mereka. weeee.. =)

1 comment: