Sunday, June 2, 2013

Hakikat Kucintaimu Bab 5

Protected by Copyscape DMCA Copyright Search
Bab
 5
           
            Tinggal tiga hari lagi Mia Qistina akan bergelar tunangan orang. Dia sendiri masih belum mengenali siapa lelaki tersebut. Bakal menantu kesayangan Puan Maisarah dan Encik Qairul tidak langsung menghubunginya selepas temujanji yang dibatalkan pada saat akhir itu. Walaupun mama dan papanya bising agar tetap pergi menemui lelaki itu, Mia Qistina buat babil saja. Kalau lelaki itu tak mahu berjumpanya, dia berjuta-juta lemon tak hingin bertemunya.

            Mia Qistina terasa nyaman sekali mendengar desiran pantai dan menikmati keindahan laut di Port Dickson. Sengaja dia membawa jiwanya yang kusut ke sana. Dia inginkan ketenangan. Pelbagai persoalan bermain di mindanya. Bagaimana harus dia berdepan dan mengahwini seorang lelaki yang tidak dikenalinya? Adakah dengan cara ini dapat membalas segala jasa kedua ibubapanya? Mia Qistina bingung. Perkahwinan dengan si putera pilihan hati tidak tercapai. Meskipun dia selalu mendengar cinta selepas kahwin lebih manis berbanding cinta sebelum kahwin, dia tetap meragui kesahihannya. Andai hidup seperti novel, mestilah bahagia diakhirnya kerana takdir mereka memang terletak di tangan penulis.

            Dari jauh, Ikhwan Iqaan leka memerhati Mia Qistina. Ketika Datin Ismah menelefonnya di pejabat pagi tadi dan memaklumkan tentang Mia Qistina yang telah berangkat ke Port Dickson, hatinya dijentik-jentik untuk bertemu dengan bakal tunangnya lebih-lebih lagi apabila ibunya menyatakan Mia Qistina ke sana kerana membawa diri. Perasaan gusar terbit kala itu takut-takut Mia Qistina ingin melarikan diri dari menjadi tunangnya. Terkenangkan soal pertunangan dan perkahwinan, Ikhwan Iqaan gundah. Bagaiman perasaan Mia Qistina? Dia yakin Mia Qistina tidak gembira dengan rancangan ini. Walaupun tempoh hari dia tampak ceria, riang,  namun Ikhwan Iqaan dapat merasakan ada sesuatu yang membuat mata bulat itu pudar sinarnya. Adakah Mia Qistina juga seperti dirinya yang terpaksa untuk meneruskan juga perkahwinan ini? Apa reaksi Mia Qistina andai dia mengetahui bahawa dia adalah bakal suami yang akan dinikahi?

            Ikhwan Iqaan meraup mukanya. Dia  akhirnya berjalan mendekati Mia Qistina yang sedang duduk termenung di atas sebuah batu besar. Mia Qistina langsung tidak menghiraukan derap kakinya.

“Hai laut.. Bila murai tak bersuara, sunyi juga kan?” Ikhwan Iqaan cuba memancing perhatian gadis di hadapannya namun masih tiada reaksi. Entah apa yang difikirkan gadis itu. Ikhwan Iqaan berdehem beberapa kali, tetapi Mia Qistina tetap tak ubah seperti patung cendana.

“Mia!” Ikhwan Iqaan menyergah kuat Mia Qistina dengan harapan itu memberi respon.

“Mak aku jatuh terkejut!” Tidak semena-mena Mia Qistina melatah dan melompat turun dari batu.  Ketawa Ikhwan Iqaan kuat bergema. Muka Mia Qistina sudah kemerahan menahan geram dan malu. Dadanya diurut-urut. Hampir luruh jantungnya menyembah bumi ketika itu. Nasib dia bukan seorang penghidap penyakit jantung.

Mia Qistina menggigit bibir. “Awak ni kan! Kenapa buat saya terkejut macam tu? Cukup la tu ketawakan saya.” Marah Mia Qistina. Ikhwan Iqaan kian rancak ketawa. Geli hati menatap wajah mencuka gadis itu.

“ Awak tu lah. Saya panggil tak dengar. Mengelamun apa? Ingatkan pakwe ke?” tembak Ikhwan Iqaan dan tawanya semakin reda.

“Mana ada. Saya tak ada pakwe ok. Awak ni tiba-tiba terpacak depan saya ni apa kes? Mana awak tahu saya kat sini? Saya tak bagitahu awak pun. Ganggu ketenteraman saya je. Ei. Dahlah kejutkan saya. Kalau saya kena heart attack, awak nak tanggung?” bebel Mia Qistina panjang berjela. Menghamburkan rasa tidak puas hatinya.

  Ikhwan Iqaan hanya tersenyum mendengar celoteh gadis itu namun itulah yang membuatkan dia terlalu merindui gadis itu. Harinya yang sepi, berseri-seri apabila dihiasi bebelan Mia Qistina. ‘Murai bila bersuara memang habislah. Potpet-potpet,’desis hatinya sambil tersenyum.

“Senyum kambing pulak dah. Mengata saya lah tu. Jawablah soalan saya. Mana awak tahu saya kat sini?” sambung Mia Qistina yang kembali memanjat dan duduk di atas batu. Pelik juga Ikhwan Iqaan muncul tiba-tiba. Seingatnya dia tidak memberitahu sesiapa pun  akan kedatangannya ke sini melainkan Puan Maisarah, Encik Qairul dan Muhammad Qayyum.

“Saya rasa awak macam memanggil-manggil saya. Itu yang saya datang sini. Tak sangka memang jumpa awak. Macam ada jodoh pulak kita ye,”sakat Ikhwan Iqaan.

“ Banyaklah awak punya jodoh. Saya nak jadi tunang orang dah esok lusa. Minggu depan dah jadi isteri orang.” Tenang Mia Qistina membalas bicara Ikhwan Iqaan. Dia sudah bersedia untuk menyatakan status dirinya. Ikhwan Iqaan  menangkap gemersik suara gadis itu seolah menyembunyikan sendu.

“Awak dah nak kahwin? Tak bagitahu saya pun. Patah hati saya tau. Mana tunang awak? Muka awak macam tak nampak happy je. Kena kahwin paksa ke?”duga Ikhwan Iqaan lagi.

            Mia Qistina tersentak dan memandang sekilas ke arah ‘Iqaan’. Lelaki itu macam tahu-tahu aje gejolak jiwanya. Itu yang membuat dia gemar bersahabat dengan Ikhwan Iqaan. Dia cukup memahami walaupun tidak sampai sebulan pun usia perkenalan mereka. Mia Qistina juga tidak kekok untuk berbual dengannya. Mungkin kerana dia tidak mempunyai  rakan lelaki yang rapat. Mia Qistina tersenyum hambar memandang Ikhwan Iqaan.

“Mana awak tahu saya kena kahwin paksa? Nampak sangat ke?”lirih suaranya menyentuh hati Ikhwan Iqaan.

“Entah la awak. Saya tak kenal pun siapa dia. Family saya pulak dah rancang semuanya. Saya tengok muka dia pun tidak. Macam manalah saya nak kahwin dengan dia. Entah muka dia macam zombi pun saya tak tahu.” Sesudah Mia Qistina menghabiskan ayatnya, dia turun dari batu tersebut dan ke gigi pantai.

Ikhwan Iqaan menepuk dahi. ‘Hah? Ada ke dia bayangkan aku yang handsome siot ni macam zombi? Mia ni nak kena ni,’ detik Ikhwan Iqaan.

             Ikhwan Iqaan mengikut jejak Mia Qistina dari belakang. Mia Qistina merasakan dia tidak sepatutnya bercerita panjang kepada temannya itu. Dia pantas memercikkan air ke muka Ikhwan Iqaan yang seolah sedang memikirkan sesuatu. Ikhwan Iqaan terkejut dan pantas tangannya juga memercikkan air kepada Mia Qistina. Mereka saling berkejaran seperti kanak-kanak. Mia Qistina berasa sangat gembira seolah-olah tiada apa yang difikirkan.

“Mia, awak sengaja aja basahkan saya? Siap awak,”jerit Ikhwan Iqaan yang termengah-mengah mengejar Mia Qistina. Mia Qistina menjelirkan lidahnya sambil berlari-lari di atas pasir. Tanpa diduga, dia terjatuh. Ikhwan Iqaan pantas menariknya ke dalam air. Mereka berdua basah kuyup.

“Itulah Mia. Jahat sangat. Padan muka,” kata Ikhwan Iqaan. Mia Qistina hanya tertawa riang.

            Ikhwan Iqaan terpandang sang mentari mula melabuhkan tirai. Pantas dia mencuit bahu Mia Qistina. Mia Qistina yang awalnya kehairanan, terus melihat ke posisi yang ditunjukkan oleh Ikhwan Iqaan. Dia terpegun dengan keindahan petang itu. Mereka menikmati keindahan senja bersama. Ikhwan Iqaan menggenggam jemari Mia Qistina. Mia Qistina terkesima. Ada debar bertandang.

“Cantikkan?” soal Ikhwan Iqaan penuh romantis. Mia Qistina belum mampu membuka mulut. Dia hanya menganggukkan kepala.

“Kalau Mia nak tahu, Iq selalu impikan tengok matahari terbenam bersama isteri Iq. Tak sangka dapat tengok dengan Mia,” luah Ikhwan Iqaan lagi.

Mia Qistina termangu. Kata-kata Ikhwan Iqaan menyentap tangkai hatinya.

‘Argh! Apa kena dengan aku ni?’ Mia Qistina tersedar dari mimpi indahnya. Dia merentap pegangan Ikhwan Iqaan dan terus berlari meninggalkan lelaki itu. Tidak sanggup dia berlama di situ lagi.


Ikhwan Iqaan kecewa. Baru sahaja dia rasakan harinya indah, namun tindakan Mia Qistina itu menghancurkan segalanya. Ikhwan Iqaan hanya menyoroti langkah gadis itu dengan pandangan mata. Agaknya Mia Qistina juga keliru dengan getar yang bertandang itu.

1 comment: