
Bab
7
Mia Qistina berlegar-legar di Mid
Valley Megamall tengah hari itu. Sejak dia bergelar tunangan orang, dia belum
pernah keluar. Dek terlalu bosan, dia lantas curi-curi keluar tanpa meminta
izin daripada Puan Maisarah. Dia tahu, jika dia memberi tahu mamanya, sudah
tentu dia dilarang keras. Darah manis tidak elok kalau asyik keluar. Lainlah
tujuannya untuk membuat persiapan perkahwinan namun dia tidak langsung berminat
untuk hal itu.
Mia Qistina melangkah masuk ke dalam
kedai buku MPH. Langkahnya terus diatur ke rak novel-novel Melayu dan matanya
tertarik pada tajuk novel Pilihan Mama karya Umie Nadziemah. Tajuk novel itu
benar-benar menarik perhatiannya tetapi belum sempat dia membaca sinopsis buku
itu, bahunya seakan tersentuh seseorang. Mia Qistina menoleh. Terpana dia
seketika apabila Ikhwan Iqaan begitu dekat dengannya. Pelik juga bagaimana
lelaki itu muncul di sini. Macam tahu-tahu saja. Dia nampak jelas senyuman
Ikhwan Iqaan.
“Hai,
Mia. Macam kena aje tajuk tu,” sapa Ikhwan Iqaan sambil matanya tertacap pada
novel yang dipegang oleh Mia Qistina.
Mia Qistina cepat-cepat meletakkan novel itu
ke tempat asal dan menjarakkan sedikit tubuh mereka. “Erm. Hai,” balasnya
gelabah.
Senyuman Ikhwan Iqaan mati. Dia
dapat mengesan riak kurang senang pada wajah tunangnya. Sebaik sahaja Puan
Maisarah memaklumkan padanya Mia Qistina keluar entah ke mana, hatinya terdetik
untuk ke One Utama. Manalah tahu Mia Qistina ada di sana kerana tempat itu yang
selalu dituju tunangnya namun tidak tahu bagaimana, dia memacu laju ke Mid
Valley Megamall. Sewaktu dia berlegar-legar mencari parkir, matanya tertacap
pada Myvi kuning milik Mia Qistina dan kebetulan ada satu tempat kosong di
sebelah kereta itu. Dia terus menempatkan Mitsubisyi Lancernya di situ. Masuk
saja ke dalam mall, hati kecilnya mengarahkan sepasang kaki itu melangkah ke
MPH dan ternyata dia menemui Mia Qistina. Kuat sungguh jodoh mereka hinggakan
telahan hatinya tidak salah.
“Ehem..”
Mia Qistina berdehem. Tidak selesa apabila Ikhwan Iqaan memandangnya tidak
berkelip. Sebenarnya dia rasa janggal. Janggal teramat sangat setelah dia
mengetahui siapa Ikhwan Iqaan yang sebenarnya.
Ikhwan
Iqaan yang baru tersedar, meraup mukanya. Dia mengembuskan nafasnya sedikit
keras.
“Hmm..
Jom makan. Saya laparlah,” ajak Ikhwan Iqaan.
“Saya
tak lapar,” balas Mia Qistina pendek lalu berjalan keluar dari kedai buku itu.
Mia
Qistina tidak tahu apa yang perlu dia lakukan saat bertemu Ikhwan Iqaan. Sejak
pulang dari Port Dickson tempoh hari, mereka tidak langsung berhubung walaupun
pada hari pertunangan mereka yang berlangsung dua hari lepas. Ketika majlis
kecil-kecilan itu diadakan, hanya Datin Ismah dan saudara-mara terdekat Ikhwan
Iqaan sahaja yang hadir. Batang hidungnya langsung tidak kelihatan. Jelas itu
menunjukkan hubungan mereka dicipta tanpa rela dan tindakan Ikhwan Iqaan
menyembunyikan identitinya yang sebenar menguatkan lagi telahan Mia Qistina.
“Please,
saya lapar. Dah lama tak keluar dengan awak. Sombong iya sekarang?” Ikhwan Iqaan menarik lengan Mia Qistina
menyebabkan kaki tunangnya itu terpaku.
Mia
Qistina merentap kasar pegangan Ikhwan Iqaan. Dia mengecilkan matanya tanda
geram. Memang dia geram kerana Ikhwan Iqaan masih mahu berlakon. Sampai bila
agaknya dia ingin begini sedangkan perkahwinan mereka tinggal lebih kurang lima
hari saja lagi.
“Awak
kenapa ni, Mia? Kasarnya. Maaf kalau awak tak suka,” luah Ikhwan Iqaan yang
terkesan dengan tindakan Mia Qistina. Dia bingung dengan sikap tunangnya.
Sebelum ini Mia Qistina tidak bersikap hambar dengannya.
Mia
Qistina meraup mukanya. Nafasnya ditarik dalam-dalam lalu dihembusnya kasar.
Dia harus tenang dan tak mudah gelabah. Dia perlu mengikut rentak Ikhwan Iqaan.
Itu yang cuba dia ingatkan pada dirinya.
“I’m
sorry. Saya tak berapa sihat. Sakit kepala,” dalih Mia Qistina.
“La..
Kenapa tak cakap? Sakit kuat ke ni? Kita ke klinik iya?” soal Ikhwan Iqaan
risau. Sedikit sebanyak, jiwanya lega.
Mia
Qistina menggeleng. “Tak apa. Kata nak makan. Jomlah. Nak makan kat mana?”
Ikhwan
Iqaan tersenyum. “Mc Donald okay?”
Mia
Qistina mengagguk dan keduanya beriringan berjalan menuju ke Mc Donald.
Masing-masing menyepi melayan perasaan hinggalah tiba di restoran makanan
segera itu.
***
Renungan Ikhwan Iqaan tidak lepas
memandang Mia Qistina. Dalam hati, sekali lagi dia memuji kecantikan tunangnya.
Dia akui Mia Qistina ada aura yang tersendiri. Bukan dia tidak perasan, ketika
berjalan tadi, banyak mata anak muda memandang Mia Qistina sambil
tersengih-sengih gaya nak mengorat. Nasib baik Mia Qistina tidak melayan. Kalau
tidak, hinggap juga penumbuknya di muka mereka. Cemburu? Siapa yang tak cemburu
kalau tunang sendiri dipandang-pandang. Cemburu tandanya sayang. Sayang? Tak
mungkin! Ikhwan Iqaan sedang berperang dengan perasaan yang sukar dia
tafsirkan.
Mia Qistina mengerutkan dahinya.
Aneh sungguh dengan sikap Ikhwan Iqaan yang sekejap tersenyum dan sekejap
mengeluh sedangkan renungan itu langsung tidak lepas daripada tertacap pada
wajahnya. Apa sebenarnya yang berlegar dalam benak lelaki itu iya?
Mia
Qistina berhenti menjamu Cheese burgernya.“Awak ni kenapa, Iqaan? Dari tadi
pelik aje saya tengok,” suara Mia Qistina.
“Hmm..
Tak ada apa. Rindu awak kot,” usik Ikhwan Iqaan, memaparkan barisan gigi
putihnya yang tersusun rapi.
Mia
Qistina mencemik. “ Rindulah sangat. Tak baik rindu tunang orang. Berdosa tau,”
tempelak Mia Qistina.
Ikhwan
Iqaan mengeluh. “ Kalau awak tak sebut pasal tu boleh? Patah hati saya tau.”
Dia sendiri sebenarnya tidak faham apa yang dia katakan. Penat juga berlakon
seperti ini tapi dia belum bersedia untuk perkenalkan diri yang sebetulnya.
Mia
Qistina ketawa sinis. Pandai sangat Ikhwan Iqaan berdrama. “ Apa nak patah hati
pulak? Awak tu takkan tak ada someone special. Entah-entah nak kahwin dah pun
kan?” sekali lagi dia menduga lelaki di depannya.
Wajah
Ikhwan Iqaan tenang. “Kita ni tak ada orang nak,” guraunya.
Mia
Qistina senyum hambar. Malas nak membahas tetapi tidak semena Ikhwan Iqaan membawa sekeping
tisu ke birai mulutnya. Mia Qistina
kaget.
“Comot
awak makan,” ujarnya dan dia masih mengelap birai mulut Mia Qistina.
Mia
Qistina masih lagi kelu. Kelakuan Ikhwan Iqaan membuat jantungnya seakan
berhenti berdetak. Sesak nafasnya dan dia terlalu lemah untuk menolak tetapi
dia tiba-tiba rasa pipinya sakit.
“Aduh!
Sakitlah!” Mia Qistina menggosok-gosok pipinya. Dia mengetap bibir. Ikhwan
Iqaan sudah galak ketawa.
“Itulah.
Berangan jauh sangat,” kata Ikhwan Iqaan dengan tawa yang bersisa. Dia juga
hanyut sekejap tadi namun dia sempat tersedar. Demi menutup malunya, dia
mencubit pipi Mia Qistina. Pipi yang putih itu kemerahan.
“Orang
tak beranganlah. Sesuka hati aje cubit saya iya? Nak kena ni,” ugut Mia
Qistina.
Ikhwan
Iqaan menayang muka nakalnya dan sepantas kilat, Mia Qistina melumur sos cili
ke muka kiri Ikhwan Iqaan. Membulat mata lelaki itu tetapi selepas itu mereka
berdua ketawa serentak. Acara lumur-melumur berterusan seketika. Mereka tidak
kisah pada mata yang memandang. Ternyata mereka gembira. Hilang masalah yang
dipendam tika itu.
smbng lagii
ReplyDeleteBEST.....NAK LAGI.
ReplyDeletesuka cerita ni..
ReplyDeleteTQ sis.. =)
Delete