Thursday, July 25, 2013

Mungkin Saja Bab 1

Protected by Copyscape DMCA Copyright Search
Bab 1


            “Mak, cepatlah. Rayyan penat tau. Dari tadi mak duk pusing je. Belek itu, belek ini. Satu pun tak beli. Penatlah macam ni. Dahlah panas. Kalau pergi shopping mall kan senang.” Sudah berulang kali Rayyan membebel benda yang sama. Sungguh dia penat terpaksa ikut ibunya menjelajah kedai-kedai di Pengkala Kubur itu. Entah apalah sangat yang digemari oleh pengunjung-pengunjung ke situ. Memanglah harga murah tetapi tak adalah murah mana. Musim dekat nak raya semua peniaga cekik darah. Lebih baik membeli-belah di mall sahaja.

“Rayyan, mak datang sini bukan selalu. Lagi-lagi dengan Rayyan. Sabarlah sikit. Ujian puasa untuk Rayyan ni tau. Jangan duk bersungut. Kurang pahala,” balas Puan Rahah sambil matanya tak lepas memandang susunan beg tangan berjenama di depannya. Biarpun tiruan, kualiti beg yang dijual di kedai itu tidaklah kualiti yang rendah. Kalau dipakai, nampak lebih kurang dengan yang original sahaja.

“Cantikkan beg kat sini, makcik?” soal Aireen yang sedari tadi memerhati gelagat dua beranak di sebelahnya. Timbul pula kasihan pada si ibu. Nasiblah datang dengan orang lelaki. Tak faham jiwa.
Puan Rahah menoleh ke arah gadis manis di sebelahnya. “Ha’a. Cantik. Itu yang makcik duk belek je dari tadi.”

Aireen senyum seraya mengangguk. “Saya pun tak tahu nak pilih yang mana. Boleh makcik tolong pilihkan untuk saya?”

“Isk. Kamu ni. Makcik ni dah tua. Mana tahu taste kamu,” seloroh Puan Rahah. Seronok pula ada teman mahu berbicara. Budaknya nampak sopan dan baik. Cantik pula. Putih melepak. Alis mata tersusun elok. Bibir yang kecil itu tak lepas dari mengukir senyuman. Sejuk hati memandang.

“Tak apa. Makcik pilih je. Saya terima. Lagipun saya tak ada teman nak tanya. Kawan saya hilang ke mana entah.”

“Iyalah. Makcik pun sama. Nampak aje datang berdua tapi sorang tu asyik membebel aje. Nak teman mak pun bersungut,” ujar Puan Rahah. Terselit juga sindiran buat si anak.

“Mak ni..”  Rayyan yang tadinya senyap memprotes. Dia senyap bukan mengapa. Terpegun dengan kecantikan gadis di samping ibunya itu. Suara pun lunak merdu.

“Encik, kesian mak encik. Tak baik buat macam tu tau,” sampuk Aireen.

Rayyan mengetap bibir. Geram pula si gadis itu menegurnya begitu. Seolah-olah dia kejam sangat. “Cik, saya tak buat apa pun. Saya nak bawa mak saya ke shopping mall. Itu lebih elok daripada mak buang masa pilih barang tak berkualiti. Bukannya saya tak ada duit sampai mak kena beli barang tiruan ni. Orang macam awak sesuailah. Mak saya tak sesuai nak beli barang cap ayam ni.”

Berubah rona wajah Aireen apabila tiba-tiba dibidas tepat ke hidungnya. Dia cakap elok, tapi lelaki itu berkasar pula. ‘Sabar Aireen. Sabar,’ Aireen menenangkan dirinya.

“Isk, Rayyan tak elok buat.. siapa nama anak?”

“Aireen,” jawab Aireen pendek.

“Ha.. Tak baik Rayyan cakap Aireen macam tu. Aireen ni niatnya baik. Nak teman mak shopping. Kamu ni. Beg cap ayam ke cap itik ke sama je Rayyan. Lama-lama rosak jugak. Cepat minta maaf dengan Aireen.”

Rayyan mencemik. Dalam hati tertanya-tanya, sejak bila ibunya senang masuk geng dengan orang baru kenal. Selalu bukan main susah lagi.

“Mak, kalau mak nak Rayyan mintak maaf, memang taklah,” balas Rayyan.

“Sejak bila anak mak..”

“Makcik, tak apa. Tak payah gaduh pasal saya. Saya mintak maaf iya makcik. Pasal saya, makcik dan anak makcik gaduh dengan saya.  Saya kena pergi ni. Kawan saya dah mesej,” pintas Aireen sebelum kedua beranak itu bertekak. Dia tahu anak makcik itu takkan sama sekali meminta maaf. Tengok muka, sudah tahu lelaki itu ego dan kerek. Dia yang silap menegur lelaki itu.

Puan Rahah memegang tangan lembut Aireen. Dia mengangguk. “Iyalah. Makcik minta maaf iya pasal anak makcik. Memang perangai dia macam ni. Sebab tu dah tiga puluh pun tak laku-laku.  Makcik harap dapat jumpa Aireen lagi.”

“InsyaAllah makcik. Aireen duk Kota Bharu je. Kalau ada jodoh, jumpa lagi.”

“Samalah. Makcik pun duk Kota Bharu. InsyaAllah, makcik yakin kita dapat jumpa lagi. Aireen.”

Aireen menunduk mencium tangan tua Puan Rahah penuh hormat. Sebelum dia meninggalkan dua beranak itu, dia mengambil kesempatan lalu di belakang Rayyan. “Tak payah nak kerek sangatlah,” bisiknya kemudian berpaling pada Puan Rahah sambil tersenyum, seperti tiada apa yang berlaku. Walhal dia tahu Rayyan sedang menahan rasa. Cepat-cepat dia mengatur langkah. Walaupun rasa geram masih terbuku di hatinya, membuat lelaki itu marah sudah mampu memuaskan sedikit perasaannya.

***
            “Kak Mai, Aireen nak ke hospital. Boleh Kak Mai hantar Aireen,” Aireen bersuara lemah tengah malam itu. Dadanya berasa sesak. Penyakit asthmanya menyerang lagi. Ini pasti gara-gara makan kulat masak sos tiram berbuka tadi.

“Aireen lelah lagi?” soal Kak Mai gusar. Aireen merupakan juniornya. Dia dan Aireen sangat rapat. Oleh sebab itu dia mengajak Aireen tinggal bersamanya. Tak perlu menyewa bersama teman-teman yang lain. Aireen bukan seperti insan lain. Tampak biasa tetapi dalamannya penuh seribu satu rahsia.

“Iya,Kak Mai. Aireen tak tahan dah.”

“Iyalah. Sekejap. Kak Mai pergi tukar baju.”

            Setiba sahaja di ruang kecemasan hospital, Kak Mai terus memaklumkan kepada seorang jururawat bertugas perihal Aireen lalu jururawat tersebut membawa Aireen ke tempat yang dikhaskan untuk para pesakit asthma untuk menyedut ubat menggunakan mesin nebuliser. Kerusi-kerusi yang disusun sebaris itu kosong. Tiada sesiapa di ruang itu. Hanya Aireen sahaja.

“Sekejap iya, saya panggilkan doktor,” beritahu jururawat berusia sekitar empat puluh, memakai tag nama Asiah dan Aireen mengangguk.

“Okay, Cik Aireen. Can I help you?”

Terbutang mata Aireen saat suara yang tidak asing lagi menyapanya. Dia merenung lelaki yang memakai kot putih di depannya itu dan ternyata dia tidak silap.

“A..wak?” soal Aireen gugup. Dadanya yang terasa sempit, makin sempit dibuatnya.

Rayyan tersenyum sinis. “Saya nak check awak sekarang. Saya rasa keadaan awak dah makin teruk, Cik Aireen.”

Oh, Tuhan!! Jantung Aireen bagai mahu terkeluar dari tempatnya. Udara yang disedut juga umpama kekurangan gas oksigen apabila Rayyan sudah menekapkan stestekop ke dadanya.

“Dah tak boleh nak tarik nafas dalam-dalam?”

Aireen menggeleng.

“Hmm. Okay. Take this. After fifteen minutes, saya datang balik. Jangan gatal nak buang. Inhale macam biasa saja. Faham?” Rayyan menghulurkan mask supaya Aireen sarungkan ke hidung dan selepas itu mesin dihidupkan.

***
            Aireen yang baru hendak terlelap lantas menegakkan tubuh apabila terdengar derap kaki menghampirinya. Siapa lagi kalau bukan Doktor Rayyan. Kalaulah dia tahu lelaki kerek yang dijumpainya siang itu seorang doktor di Hospital Raja Perempuan Zainab II itu, memang dia takkan jejak kaki ke situ.

“Dah okay ke?” soal Rayyan dingin. Dia yang selalunya ramah tatkala berdepan pesakit berubah menjadi sebeku ais. Nampak sahaja kelibat Aireen dari jauh tadi, rasa sebalnya kembali bertandang. Mujurlah dia di hospital dan sedang menjalankan tugas. Kalau tidak, mahu dicekik-cekik gadis itu. Berani-beraninya panggil dia kerek.

Aireen diam dan tidak memberikan sebarang reaksi. Malas dia hendak menjawab soalan itu kerana badannya rasa terlalu lemah. Letih barangkali.

“Itulah tak pandai nak jaga diri. Ini mesti sebab minum air sejuk tak ingat dunia waktu berbuka tadi. Memang cari penyakit betul. Kalau tahu diri tu sakit, jagalah pantang. Bolehlah tolong kurangkan sikit jumlah pesakit kat Malaysia ni. Membebankan orang betul,”ungkap Rayyan. Sebenarnya dia sengaja memprovok Aireen. Tak senang duduk apabila gadis itu tidak membalas katanya.

Aireen mengetap bibir. ‘Doktor jenis apa dia ni?’ soal hati Aireen.

Tit! Tit! Mesin nebuliser berbunyi tanda ubat yang diberikan telah habis. Aireen pantas menanggalkan mask yang penuh dengan wap air. Kemudian nafasnya ditarik dalam-dalam. Lega.

“Dah okay ke belum? Biar saya periksa sekali lagi.”

Aireen menggeleng. “Tak payah. Dah okay. Saya tak nak membebankan Tuan Doktor yang sememangnya tak ikhals menjalankan tanggungjawab,” sindir Aireen. Dia tak sanggup lagi diperiksa untuk kali kedua. Steteskop yang menekap di dadanya tadi seolah masih terasa. Meremang juga bula romanya.

“Kenapa awak ni? Nak cari gaduh ke apa?” soal Rayyan tidak berpuas hati. Suaranya tetap juga dikawal agar tidak kedengaran oleh insan yang lalu-lalang di situ.

“Saya tak nak cari gaduh. Cuma saya sebagai pesakit, kesal dengan sikap Tuan Doktor yang menjalankan tanggungjawab dengan rasa terpaksa. Kalaulah semua doktor macam ni, memang orang rela matilah. Yang sakit jadi makin sakit tahu tak. Dahlah. Saya tunggu di luar. Tolong bagi ubat yang betul untuk saya. Kalau Tuan Doktor nak bunuh saya, prescribe racun tikus aje. Sekian, terima kasih.”

“Ha. Memang racun tikus sesuai untuk pesakit mental macam awak,” balas Rayyan tidak mahu mengalah.

“Doktor gila!” kutuk Aireen.


Rayyan tersenyum penuh makna. Wajahnya di dekatkan sedikit dengan wajah Aireen. “Saya gila sebab awak!”

No comments:

Post a Comment