Prolog
“Encik.. Produk ni sangat
sesuai untuk kaum lelaki dan juga wanita. Boleh hilangkan kedutan, boleh buat
wajah kita nampak segar dan berseri. Sesuai untuk semua jenis kulit tau, encik.
Kalau yang ada masalah kulit berjeragat, jerawat batu pun boleh guna yang ni.
Dalam masa yang singkat, muka akan jadi licin. Untuk muka berminyak, produk ni
jugak boleh kurangkan minyak dan bagi wajah kering, boleh jadikan produk ni
sebagai moisturizer. Saya syorkan encik dapatkan satu. Boleh cuba set percubaan
kami dengan harga dua puluh lima ringgit saja.”
Fuh! Terang aku panjang
lebar pada si jejaka yang sedang ralit membaca tulisan di botol krim Sinetron.
Tekun sungguh. Tak sia-sia aku panggil dia. Sekurangnya, tak adalah mamat ni
lari.
Dalam diam, aku perhatikan
susuk tepi wajahnya. Nampak sangat kacak. Ala-ala suami Irma Hasmie pun ada. Uit!
Macam Redza Syah Azmeer tu.. Oh, lelaki yang aku idam-idamkan. Agak-agaknya
lelaki depan aku ini anugerah Tuhan untuk aku kot!
“Dah habis ek?”
Heh? Soalan cepumas yang
buat aku terlopong. Berbisa sungguh! Persis menyindir aku pun iya.
“Tutup mulut tu. Masuk
lalat nanti.”
Gulp! Cepat-cepat aku
menekup mulut dengan tangan kananku dan tidak semena bibir itu menguntum
senyuman. Oh Tuhan! Boleh tak aku nak cair? Lesung pipit dua belah pipi dia
jelas kelihatan. Cik jantung sudah tidak tentu hala. Dup..Dap..Dup..Dap.. Laju
betul berdegup. Waktu aku masuk pertandingan lari pecut pun tidaklah sampai
begini lajunya.
“Produk ni memang produk ‘Sinetron’ ek?” soal
encik kembar Redza Syah Azmeer. Nama tak tahu, jadi pandai-pandailah aku bagi
nama pada encik kacak pujaan hati.
Aku mengangguk laju. “Iya,
encik. Cubalah. Kalau encik tak nak pakai, encik boleh bagi kat mak encik, adik
encik atau teman wanita encik. Dijamin berkesan,” yakinku.
Encik kembar Redza Syah
Azmeer diam namun renungan dia tepat memandang aku.
‘Oh, encik kacak pujaan
hati! Jangan tenung aku macam tu boleh? Rasa nak pitam!’desis hati kecilku.
“Hmm..” Dia mengelus
janggut sejemput yang menyerlahkan lagi kematangan di wajahnya.
“Cik adik manis..”
Membulat mata aku. Air
liur aku telan berkali-kali. Seruan lembut mendayu-dayu itu boleh buat aku
terkena serangan jantung. Mana tidaknya, encik kacak pujaan hati panggil aku
cik adik manis. Nasib baik bukan cik adik sayang. Kalau tidak, sah-sah aku
perlu dihantar ke Institut Jantung Negara dengan kadar segera.
“Cik adik manis pun pakai
produk Sinetron ni jugak ye? Sebab saya tengok wajah cik adik manis, suci
bersih berseri,” tanya encik kacak pujaan hati bersama pujian yang membuat aku
terbang ke langit biru.
Pantas aku jatuhkan kepala
mengangguk laju, mengakui aku memakai produk itu sedangkan sekalipun aku tidak
pernah mencuba.
“Saya tak sangka ada
produk magik macam ni. Memang “Sinetron” sungguhlah.” Bibir yang tadinya ukir
senyuman ikhlas, berubah menjadi senget. Sinis.
Aku jungkitkan kening.
Cuba menyelami maksud yang cuba encik kacak pujaan hati sampaikan.
“Cik adik manis.. Kot iya
pun produk ni namanya Sinetron, tak perlulah cik adik manis pun nak bersinetron
jugak. Tak baik menipu orang untuk dapatkan rezeki tau. Tak halal. Tak
berkat. Namanya makan duit haram.”
Dush! Kata encik kacak
pujaan hati bagai menjerut leherku sekuat-kuatnya hingga aku tidak mampu
bernafas. Sesuka hati dikatanya aku menipu, makan duit haram. Aku mencari
rezeki yang halal. Semua yang aku terangkan itu, memang sudah tertulis dalam
pamplet. Jadi, aku bagitahu sajalah.
“Encik.. Kalau encik tak
nak beli, encik jangan tuduh saya yang bukan-bukan iya,”tegasku lalu merampas
kasar krim Sinetron di tangannya. Menyesal aku melayan encik kacak pujaan hati
yang dah tak nampak kacak dan dah tak jadi pujaan hati.
“Cik adik manis.. Cik adik manis..”
ujarnya diselangi tawa halus.
Aduh! Cara dia ketawa sekali lagi
buat hati yang geram ini terpukau.
“Comel kalau cik adik manis marah.”
Usai mengungkapkan kata pujian itu, cepat-cepat encik kacak pujaan hati
meninggalkan aku.
“Ei! Encik kacak!” Ops! Pantas aku
menekup mulut. Hendak marahkan dia, tetapi terpuji pula dan malangnya, dia
mendengar. Ditolehnya sekilas. Klik! Matanya yang sentiasa nampak tersenyum itu
dikenyit.
Bakal terbit. Limited Edition. - 100 buah sahaja untuk cetakan pertama. Boleh masukkan nama anda di grup saya jika berminat! https://www.facebook.com/notes/cerita-cinta-meeyalisha/survey-mini-novel-djs-limited-edition/315937485230826
No comments:
Post a Comment