Bab 1
Aku lepaskan keluhan
berat. Adui, penat sungguh kalau hari-hari seperti ini. Dari pagi hingga petang
dan kadang-kadang hingga ke malam melangut dalam Tesco. Nasiblah nak mencari
sesuap nasi. Ceh, ayat tak boleh blah!
Kerja sebagai kakitangan
pemasaran produk kecantikan sangat-sangat mencabar. Panggil orang itu.. Panggil
orang ini.. Semata-mata untuk rekomen produk. Alih-alih mereka buak derk saja. Habis air liur tapi duit tak
masuk. Rasa nak berhenti tetapi perasaan bimbang kalau-kalau aku ditakdirkan
menjadi penanam anggur tegar menghalang aku daripada membuat keputusan itu.
“Uit! Mengelamun!”
“Eh, mak kau mengelamun!”
latah aku dek sergahan Dalila. Geram benar dengan gadis molek seorang ini.
Kerja kalau tak mencucuk pinggang aku memang tak sah!
“Kau ni kan! Apa kacau aku
ni. Buat ajelah kerja kau!”marahku pada Dalila.
Tersungging sengihan tak
bersalah di wajah itu. “Ala.. Kau tu. Asyik mengelamun aje. Kerja tak jalan.
Macam mana rezeki nak masuk?”
Aku mencemik.
Bila Cik Dalila
berceramah, mulalah telinga nak bernanah. Dalila memang banyak cakap. Itu yang
senang saja dia dapat pelanggan. Alih-alih hujung bulan, gaji masyuk. Tinggal
aku sajalah dapat gaji cukup-cukup makan. Haila! Sudah bidang pemasaran ini
bukan bidang aku. Ini namanya bidang terjun. Lepasan Teaching English as Second
Language (TESL) jadi marketing agent,
memang takkan berjayalah!
“Nur Adriana! Kau dengar
tak apa aku cakap ni?” Dalila menjerit kecil sambil bercekak pinggang.
Aku meraup muka kasar.
Rasa nak cubit-cubit pipi montel Dalila yang putih gebu ni. Biar reti diam
sikit.
“Kau dengki sangat dengan
aku ni apa kes?” soalku ala-ala nak ajak dia bertumbuk.
Dalila tarik muncung. “Aku
tak dengki. Aku nak tolong kau. Nak bagi semangat sikit. Agaknya bila muncul prince charming baru kau bersemangat kot
nak buat kerja,”sindir Dalila.
“Prince charming nak pandang aku buat iklan ni? Dalam mimpi,”balasku.
Perumpamaan yang langsung
tidak boleh dipakai. Prince charming
lelaki yang sempurna. Mana mungkin dia ada masa hendak tengok produk-produk
merepek seperti ini. Ops! Kejam sangat bunyi produk merepek tu. Tahu dek
majikan aku, sah-sah aku ditembak dengan ayat “You’re fired!” ala-ala Donald
Trump.
“Beb.. Mak aih!!
Kacaknya..” Tiba-tiba mata Dalila tidak berkelip memandang ke arah eskalator
dengan tangan yang dilekapkan ke pipi.
Aku menggeleng. Sehari ke
sehari, perangai gatal Dalila makin menjadi. Pantang tengok lelaki kacak sikit.
“Cik kak! Sekali pandang pahala, dua kali pandang dah masuk bab dosa
tau,”tegurku.
“Aku dari tadi pandang
sekali ni aje. Tak pandang dua kali pun tau.”
Aku tepuk dahi. Betul
sangatlah kata Dalila. Sejak dia terpandang lelaki kacak mana entah, dia
sedikit pun tidak menoleh ke arah lain. Sepasang mata sepetnya hanya tertumpu
pada makhluk itu sahaja.
“Beb, aku nak try kempen
produk ni. Kau tunggu sini ye. Aku grenti dia beli barang aku ni,”kata Dalila
bersemangat namun sayangnya…
“Dalila, TL (team leader)
nak jumpa.”
Panggilan Tia membantut
niat Dalila. Aku sudah galak tertawakan dia. Hasrat untuk mendekati si teruna
tidak kesampaian. Tak semena, idea nakal menyinggah di minda. Aku bangkit
daripada dudukku lalu menonong ke depan bersama salah satu produk syarikat.
“Aku tolong capaikan hajat
kau ye, Lila,” ujarku ceria pada Dalila yang sudah mencuka.
“Encik..”
***
“Amboi..Amboi..Amboi..” Dalila sudah bercekak
pinggang di depan aku. Tidak ubah persis gaya mak nenek yang sedang bersedia
melempiaskan bebelan berbakul-bakul.
Aku tayang barisan gigi
putihku yang tersusun rapi. Bersedia untuk mendengar celoteh dan soal siasat
Dalila yang tentunya sangat terperinci. Hendak tak hendak, aku harus bersedia
menjawab semua soalan yang diajukan. Jika tidak, alamatnya sampai berhari-hari
Dalila akan buat mogok tidak bercakap dengan aku.
“Sekarang, cuba kau cerita
kat aku apa yang dah terjadi. Sampai panggil encik kacak bagai!”
“Dah memang dia kacak dan
nama pulak tak tahu. Salah ke aku panggil dia macam tu?” balas aku selamba
sambil menghulurkan pamplet pada mereka yang lalu-lalang di depan kami.
“Kau nak mengurat dia ek?”
selidik Dalila lagi.
Aku ketawa kecil. Aku
bukan perigi cari timba. Walau terdesak mana pun, aku tidak akan sesekali
memulakan langkah pertama. Itu prinsip aku. Lagipun, Nur Adriana bukan gadis
yang mudah untuk jatuh cinta atau dicintai oleh sesiapa dan aku langsung tidak
percayakan cinta pandang pertama.
Cinta pandang pertama
hanyalah mainan perasaan yang terlalu mudah menyukai benda yang luarannya
indah. Jika aku ditakdirkan jatuh cinta, biarlah perasaan yang mengusik kalbu,
menguatkan iman dan menjauhi kemaslahatan. Cewah! Tinggi sungguh prinsip Nur
Adriana Sulaiman.
“Aku tak mengurat dia tapi
dia mengurat aku.” Nah. Terkesima Dalila dengan jawapan padat aku. Aku apa
lagi. Senyum sehingga ke telingalah melihat reaksi Dalila.
“Kau biar betul, beb?”soal
Dalila tidak berpuas hati.
“Apa? Kau ingat aku tak
laku?” dugaku dengan kening terjungkit.
Dalila menggeleng.
Aku faham maksud Dalila.
Sebelum ini kalau ada yang mengurat pun ,aku buat tidak layan. Kali ini lain
pula. Aku pun bingung dengan diri aku sendiri. Kena sampuk dek hantu jembalang
apa pun aku tak pasti.
Terkenangkan encik kacak
pujaan hati, tiba-tiba aku tersenyum sendiri. Buat pertama kali aku memuji
kekacakan seorang lelaki yang berada jelas di depan mata aku. Selalunya asyik
puji artis saja tetapi memang betullah, encik kacak pujaan hati tadi sebiji
seperti Redza Shah Azmeer. Waktu pertama kali aku melihat wajah suami Irma
Hasmie di majalah, hati aku terdetik. Andai Allah temukan aku dengan lelaki
persis Redza Shah, biarlah itu jodohku. Ngee..
Boleh terbeliak mata Dalila jika encik kacak pujaan hati itu teman sehidup
semati aku.
“Kejap lagi, dia datang
bagi teddy bear besar kat aku. Masa tu kau dah tak boleh nak kata apa dah tau!”
Tambah aku lagi mengusik Dalila yang sudah kebingungan memikirkan gelagat aku
yang agak gedik tika itu.
“Ya Allah!”
Jeritan kecil Dalila yang
secara tiba-tiba itu membantut kerja aku mengedar pamplet. Pantas aku memalingkan
muka ku ke sebelah kiri di mana Dalila berdiri.
“Ya Allah!” Tidak semena,
aku turut sama menjerit seperti Dalila. Adakah aku sedang bermimpi atau ini
kurniaan Tuhan?
Aku pisat mataku
berkali-kali. Pipi kanan, aku tampar berkali-kali. Sakit! Ini bermakna aku
bukan bermimpi. Oleh sebab aku masih dalam dilemma, aku cubit pula pipi kiri.
“Auch!” Juga sakit.
“Lila.. Aku bermimpi kan
ni?” Aku tanya pada Dalila meminta kepastian.
Dengan mulut berbentuk ‘O’
Dalila menggeleng. Dia langsung tidak boleh berkata-kata.
“Hai cik adik manis..”
Oh, Tuhan! Suara itu, panggilan itu dan tentunya wajah itu! Benar-benar jelas di depan mata aku dan
yang paling aku tidak percaya, encik kacak pujaan hati sedang berdiri dengan
senyuman tahap lebur maksima bersama seekor patung beruang bersaiz 1.2m
berwarna merah jambu kegemaran aku.
“Erk. Err.. Encik..”
“Encik kacak nak mengurat
cik adik manis la..”
Dup! Jantung aku bagai
terkena renjatan elektrik dengan kenyataan encik kacak pujaan hati yang memang
selamba teramat sangat. Apakah ini dejavu atau dia mencuri dengar setiap
perbualan aku dengan Dalila. Aku pegang dada aku yang terasa sakit. Dalam
tempoh tidak sampai satu jam, jantung aku diuji daya ketahanannya.
Aku cuit Dalila di sebelah
apabila aku tidak mampu membalas sebarang kata daripada encik kacak pujaan
hati. Dalila hanya menggeleng. Mujur mulutnya sudah ditutup.
“Boleh kasi chance saya nak mengurat cik adik manis
saya?”soal encik kacak pujaan hati pada Dalila.
Heh? ‘Cik adik manis
saya?’ Sejak bila aku dicop sebagai miliknya? Dalam hati aku berdoa agar Dalila
tidak bersetuju dengan permintaan gila itu dan meninggalkan aku berdua dengan
lelaki itu. Oh, mintak simpang!
“Boleh.. Boleh..
Silakan..”
Aduh! Aku tepuk dahi kuat.
Dalila bagai kena pukau, dengan mudahnya bersetuju dengan permintaan itu lantas
berlalu meninggalkan aku.
“Cik adik manis.. Ini
teddy bear besar gedabak untuk awak. Sudi tak?”`
“Erk.. Kalau tak sudi?”
Adeh, boleh pula keluar ayat main tarik tali itu.
Encik kacak pujaan hati
sekali lagi mempamerkan senyuman mautnya. “Betul tak sudi?” Dia kerdipkan
matanya.
Gadis mana tidak sudi
diberi patung beruang besar lebih kurang separas pinggang itu. Bukan murah.
Mahal. Comel pula tu. Lagi-lagi bagi gadis penggemar patung beruang. Pemberian
itu sangatlah dihargai. Diberi pula oleh encik kacak pujaan hati. Oh, boleh tak
tidur malam aku menghadap patung itu.
“Sudi tak?”
“Tak!”
Laju aku menggigit bibir
sebaik satu patah perkataan itu meluncur laju dari mulutku. Gara-gara terkejut
dengan suara encik pujaan hati yang naik satu oktaf, lain yang hendak dijawab,
lain pula yang keluar.
Encik kacak pujaan hati
menjatuhkan kepala. “Nasib baik cik adik manis tak nak. Kalau tidak, kesian kat
si kecil kat sana tu,” ujarnya dengan jari telunjuk ditunjukkan ke arah seorang
kanak-kanak perempuan yang sedang berdiri tidak jauh daripada kami.
“Girl, come..” Encik kacak pujaan hati
menggamit kanak-kanak itu menghampirinya.
Aku mengerutkan dahi? Apa
maksud dia? Jangan kata dia hanya nak acah aku dengan mengambil patung beruang
daripada kanak-kanak comel itu sudah. Hisk!
Bakal terbit. Limited Edition. - 100 buah sahaja untuk cetakan pertama. Boleh masukkan nama anda di grup saya jika berminat!
No comments:
Post a Comment