Bab 6
Hari ini aku
bermalasan sahaja di rumah. Maklumlah cuti aku cuma sehari seminggu. Tak larat
rasanya nak keluar ke mana-mana. Habiskan masa dengan penuh kualiti itu sangat
penting bagi aku dan kualiti itu pastilah di rumah. Boleh menghadap televisyen,
manja-manja dengan mama dan papa. Seronoknya!
Usai bangkit daripada
tidur jam dua belas tengah hari, aku terus membersihkan diri. Kalau turun ke
bawah dengan tidak mandi waktu macam ini, jawabnya pedihla telinga ini menadah
bebelan mama yang berbakul-bakul. Sudahla bangun lewat, tak mandi pulak tu dan
bla..bla.. bla.. Jadi langkah selamat, aku turun dengan keadaan suci, bersih,
wangi dan segar.
Turun sahaja ke
tingkat bawah, bau masakan mama menyengat ke hidung. Kalau tak silap, ni bau
kulat sisir goreng telur kegemaran aku. Wah, mama masak masakan istimewa hari
ini. Bukan selalu boleh makan kulat sisir.
Tubuh mama yang ralit
menggoreng kulat itu, aku peluk dari belakang dan pipi mama dicium. “Morning
ma,”ucap aku selamba sambil terjenguk-jenguk ke dalam kuali. Perut sudah sibuk
meminta diisi. Memang kecur liur tengok kulat-kulat sudah kekuningan digaul
bersama telur.
“Hisk. Pagi apanya
Riana. Matahari dah tegak atas kepala tu tau. Orang dah nak makan tengah hari
dah,”omel mama.
Kulat sisir sudah
masak itu dihidangkan ke dalam pinggan correlle bercorak bunga berwarna biru.
Pinggan kesayangan mama yang dibeli di Sydney sewaktu melawat adikku tiga bulan
lepas.
Aku tayang gigi putih
bersihku. “Ma..”
“Dah baru bangun,
pagilah tu untuk dia, ma. Kalau pukul tujuh malam bangun pun dia cakap pagi
lagi.”
Belum sempat aku
membela diri, tukang penambah perisa datang menyampuk. Aku jeling wajah Along
yang sedang tersenyum sinis. Apa lagi, aku tarik muncung sedepalah.
“Tak kerja ke? Sibuk
je.” Along ada di rumah merupakan perkara luar biasa lagi-lagi tengah minggu
begini.
“Ha..Itulah. Bangun
lambat sangat. Nanar jadinya. Hari ni kan Maulidur Rasul. Tarikh kelahiran Nabi
Junjungan Besar kita pun boleh lupa. Inilah budak-budak sekarang. Kalau New
Year boleh pulak ingat.”
Amboi, Along makin
galak mengenakan aku. Geram sungguh! “Along ingat Riana ni jahil sangat ke.
Orang tak sambut new year bagailah. Orang bukan lupa. Orang pelik kenapa Along
tu ada. Selalunya, cuti ke tak, kerja memanjang,”luahku menutup kesilapan
supaya Along tidak sesuka hati menambah sindirannya.
Along mencemik.
“Isk. Dah-dah. Kamu
dengan Along asyik nak bergaduh je. Riana, pergi pakai tudung. Ada tetamu
datang nak makan sekali dengan kita. Cepat!”Itu dia. Arahan mama dah keluar.
Semua pakat diam.
Aku pandang Along tak
berkelip. Agak-agak siapa yang datang siap suruh pakai tudung. Semalam mama tak
ada pesan apa-apa pun. Patutlah bukan main awal mama masak. Penuh meja pula tu.
“Siapa datang ma? Tak
ada orang pun masa Riana turun tadi,” soalku ingin tahu.
“Memanglah tak ada.
Tetamu tengah sembang dengan papa kat laman rumah,”balas mama sibuk mengatur
pinggan di meja.
“Dah-dah. Naik siap
cepat. Pakai sopan sikit. Ini dengan seluar tiga suku, t-shirt tak ada lengan.
Malu orang nampak,”tutur mama.
“Ala. Lelaki ke
perempuan ma? Kalau perempuan, bukannya aurat pun kan?” Aku kerdip mata pada
mama. Malas benar nak panjat tangga dan ganti baju waktu perut tengan lapar
sangat ni.
“Nur Adriana, kalau
perempuan, mama tak suruh pergi ganti bajulah adik oi! Kang tetamu tu datang tengok
kamu macam ni, sah-sah esok dia terus hantar rombongan meminang. Malam tu
kahwin? Nak?”
Heh? Cara Along cakap
tu memang menyeramkan. Laju aku gelengkan kepala. Kena pakcik miang keladi,
mati aku! Logik juga tetamu itu golongan berumur sebabnya papa yang melayan.
Kalau muda, kawan Along, mesti Along takkan sibuk tunjuk muka kat sini.
“Apa yang kecoh-kecoh
kat dapur tu Along?”
Sudah! Suara papa yang
semakin menghampiri dapur buat aku panik. Kalaulah papa masuk sekali dengan
tetamu dia, niaya aku. Tanpa berfikir panjang, aku tarik lengan Along dan
pantas menyorok di belakangnya.
“Eh, Riana, dah
bangun?Kenapa menyorok sampai macm tu sekali belakang Along?”tokok papa yang
telah berdiri di muka dapur.
“Riana ya, Arif?”
Dengar sahaja suara
itu, automatik tubuhku meloncat ke sebelah Along dengan tidak mampu dikawal.
“Encik kacak!”
Tidak semena, air muka
encik kacak berubah dan terus dia memalingkan wajahnya ke belakang. “ Maaf,
saya keluar sekejap iya?”
Tatkala itu barulah
aku sedar keadaan diri aku. Aduh, wajah bagai disimbah air panas. Panas hampir
terbakar. Lagi-lagi apabila mama, papa dan Along sudah menjengkelkan mata pada
aku.
Dalam hati, aku
mengutuk diri sendiri yang asyik sahaja melatah begitu apabila terdengar suara
encik kacak hingga mengaibkan diri sendiri. Siapa sangka encik kacak yang
datang. Along tak bagitahu awal-awal. Lagipun, jika difikirkan, selama ini mana
Along pernah ajak rakan sekerjanya datang ke rumah melainkan ada majlis atau
kenduri.
Adeh! Habislah aurat
aku yang selama ini dijaga rapi telah dilihat oleh encik kacak. Rasa nak
meraung juga waktu itu. Kenapalah dalam ramai-ramai, encik kacak juga yang
dapat tengok free show.
***
Lebih lima minit aku
ulang-alik depan pintu bilik selepas menyalin pakaian ke blouse kosong berwarna peach dan
dipadankan dengan skirt bunga-bunga kecil peach
putih. Rambutku yang disanggul rapi pula aku litupi dengan sehelai tudung
Ariani Tiara Zafira berwarna sedondon.
Sejujurnya, aku berat
hati nak turun setelah apa yang terjadi. Bingung juga bagaimana aku hendak
berdepan dengan encik kacak. Kalau tak turun, nanti mama papa kata apa. Dahla
Along asyik panggil dari tadi. Jangan nanti disuruh encik kacak yang datang
atas jemput aku macam puteri kayangan nanti sudah. Boleh habis nyawa aku dibuatnya.
Tok! Tok! Tok!
Ha..Itu pasti Along. Aku
buka pintu dengan senyuman terpaksa.
“Tak nak turun ke?”
soal Along.
“Er..Kalau tak nak?”
Along gelengkan
kepala. “Along pelik dengan Riana ni. Riana dengan Ezzat memang dah saling
kenal ek?”
Aku mengetap bibir.
Kepala aku pantas menidakkan. “Taklah. Tak kenal. Er..Riana cuma malu je nak
turun. Alonglah tak bagitahu siapa datang tadi. Kalau tahu, boleh cepat-cepat
Riana naik.”
Along sengih tapi
ianya nampak lain di mata aku. Macam Along tahu sesuatu. Fishy!
“Nak salahkan orang.
Dah-dah. Doktor Ezzat a.k.a apa tadi? Ha..Encik kacak.. Tungga Riana kat bawah.
Nak makan sama-sama. Practice makan
bersama keluarga kot,”senda Along dengan tawa halus.
Aku angkat tangan gaya
nak cekik Along dan dia apa lagi. Larilah tapi boleh bantai gelak sepanjang
turun ke bawah.
Hisk! Sabar ajelah. Along
dah jumpa lagi satu hal untuk mengenakan aku. Nampaknya lepas ini, aku perlu
tadah telinga, buat muka selamba derk jelah.
Aku pandang cermin
sekali lagi. “Aku nak turun ke tak ni?” soalku pada cermin.
Lepas beberapa detik
berfikir, akhirnya aku kemaskan pakaianku lalu dengan lafaz Basmallah, aku
turun juga. Takut Along buat kerja gila. Tidak ke meroyan nanti.
***
“Riana tak ambil lauk?
Nak yang mana biar saya tolong ambilkan.”
Aduhai, lembutnya
suara dia. Aku berpaling ke sebelah kanan. Dia sedang menanti jawapan aku
dengan renungan yang cukup redup namun sekali lagi menusuk ke segenap jantung
aku sehingga terasa dada ini benar-benar sesak.
Menyesal pula duduk
sebelah dia tetapi memang aku tiada pilihan. Turun-turun sahaja hanya sebelah
dia yang kosong. Memang set meja itu ada dua lagi kosong tetapi takkanlah aku
nak pergi duduk hujung sana sedangkan kerusi sebelah encik kacak sudah
disediakan untuk aku.
“Riana..”
Ya Allah! Jika sekali
lagi dia panggil aku seperti itu, hospitallah tempat aku nanti.
“Er..Tak..tak apa.
Sa..ya bboleh ambil sendiri.” Ha.. Kan tak memasal aku jadi gagap.
“Riana ni paling suka
kulat ni, Ezzat. Kalau mama masak ni, lauk lain memang dia tak pandang. Sebumbu
diletakknya kulat dalam pinggan tu.”
Aku ketap bibir
mendengar kata-kata mama. Boleh ke dia pecahkan rahsia aku? Mama ini memanglah.
Sudahlah bahasakan diri ‘mama’. Ingat encik kacak tu anak menantu dia ke?
“Oh, ye ke? Patutlah
lauk ni yang paling dekat dengan Riana. Saya pun suka sangat kulat ni. Memang
dapat makan ni pun dah cukup.”
“La.. Citarasa sama
rupanya. Elok sangatlah tu. Kalau kahwin, senang,” tambah Along pula.
Encik kacak ketawa
kecil.
“Insya-Allah. Kalau
kahwin, kita makan lauk ni ajelah, Riana ye?”
Uhuk! Uhuk! Uhuk!
Tak pasal-pasal aku
yang tengah minum air teh o’ limau tersedak. Aku salah dengar ke apa? Siapa nak
kahwin dengan encik kacak?
“Eh, Riana. Awak okay ke?” soal encik kacak kalut.
Aku gelengkan kepala
apabila riaknya serius. Gelas kaca itu aku letak dan aku capai tisu mengelap
mulutku.
“Ehem.. Okay.. okay,” ujar aku. Okaylah sangat. Tersembur air pada muka
dia baru tahu.
Encik kacak ni, kalau sekali tak dera perasaan
aku tak boleh ke? Tak sedar ke dia tu dah kahwin? Ada isteri dan anak pun. Ini
datang rumah aku menggatal depan keluarga aku. Along pun satu. Sah-sah mesti
Along tahu status encik kacak. Apa halnya nak kenenkan aku dengan laki orang.
Haih!
“Riana.. Riana..
Ada-ada aje kamu ni. Makanlah, Ezzat. Darah gemuruh Riana datanglah tu bila
kamu layan dia begitu. Itu belum hari langsung lagi.” Papa yang tadinya
pemerhati, bersuara.
Kata-kata papa kali
ini buat aku bertambah pening. Hari langsung apa pula? Jangan kata tujuan encik
kacak datang sini sebab……
‘
Encik kacak! Tolong saya. Jangan buat jantung saya makin
lemah!’
Bakal terbit. Limited Edition. - 100 buah sahaja untuk cetakan pertama. Boleh masukkan nama anda di grup saya jika berminat!
https://www.facebook.com/groups/ceritacintameeyalisha
https://www.facebook.com/groups/ceritacintameeyalisha
Suka....suka....suka....
ReplyDeleteEncik Kacak & Cik Adik Manis
Waahhh... comel... comel... comel...
ReplyDelete