Sunday, June 15, 2014

Mini Novel Limited Edition- Doktor Jantung Saya (Bab 4 & 5)

Protected by Copyscape DMCA Copyright Search

Bab 4

            Seminggu kejadian berlalu..

Aku pulas stereng agar kereta aku meluncur masuk ke bangunan kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II. Hajat di hati untuk pulang awal hari ini terbantut apabila Along meminta aku menjemputnya di hospital. Katanya kereta Suzuki Swift buat mogok pagi tadi. Terpaksa dihantar ke bengkel.

Demi kasih terhadap satu-satunya abang yang aku ada di dunia ini, aku ikutkan sahaja walaupun sudah berbakul-bakul merungut. Aku paling tidak gemar menjemput Along. Aku sampai aje, bukan boleh balik terus. Kena tunggu Along berjam-jam terlebih dahulu. Nak balik rumah dan datang semula jemput Along itu kerja gila. Bukan dekat Kota Bharu dengan Kubang Kerian. Andai jalan lengang, bolehlah ambil masa dalam lima belas minit tetapi kalau sebaliknya, lebih setengah jam.

Sedang elok aku parkirkan keretaku, telefonku memberi isyarat ‘bip’ tanda ada SMS yang masuh ke peti inboxnya. Pantas aku kuis skrin telefon membaca mesej yang baru aku terima.

Naik dulu. Tunggu kat meja Along.

Kan aku dah cakap. Along mesti suruh aku tunggu dia. Jadinya, aku memang tiada pilihan. Enjin kereta aku matikan. Beg tangan jenama Guess kesayangan aku itu aku capai.



***

Berjalan di kawasan kaki lima bangunan hospital itu buat aku tersentuh melihat sanak-saudara yang sedang menunggu di kerusi-kerusi yang disediakan pihak hospital. Ramai sungguh pelawat waktu ini memandangkan jam lima petang hingga jam tujuh merupakan waktu melawat. Anak-anak kecil pun diheret sama. Ada yang tampak termenung. Ada aje yang sedang bersembang.

Aku lemparkan senyuman pada mereka yang memandang sambil berjalan terus ke bilik Pakar Bius yang terletak antara bilik bedah dan unit rawatan rapi.
      
Sedang elok aku tiba di muka pintu, tiba-tiba pintu bilik terbuka.

“Eh, Riana,” sapa seorang wanita berkot putih dan berbaju kurung ungu di dalamnya dengan senyuman manis. Doktor Rasyidah namanya. Siapa lagi kalau bukan intan payung Along. Sama-sama belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia dulu. Sekarang kerja pun satu tempat cuma entah bila zaman bujang nak ditamatkan.

“Akak, apa khabar?” soalku berbasi-basi.

“Alhamdulillah. Sihat. Ini nak datang jemput Along iya?”

Aku angguk.

“Masuklah dulu. Along ada case  lagi tu. Dalam OT. Akak nak balik dah ni,” tutur Kak Rasyidah mesra.

“La..Dalam OT lagi ke? Lambat lagi ke akak?”

“Tak. Dia nak start case kejap. Intubate patient. Lepas tu nanti specialist lain yang cover,”ujar Kak Rasyidah.

\Setelah Kak Rasyidah mempelawa aku masuk, dia kemudian meninggalkan aku sendirian di meja Along. Sempat dia mohon maaf kerana terpaksa membiarkan aku sendiri. Dia perlu menjemput adik di sekolah katanya. Tak mengapalah. Macam tak biasa aku menunggu Along seorang diri.

Ruangan yang dikhaskan untuk para Pakar Bius itu kosong. Mungkin ada yang sudah pulang atau sedang sibuk dengan dengan tugasan mereka di dalam wad atau bilik bedah. Aku yang duduk di tempat Along, menjeling sekeliling. Kebanyakan meja rakan sejawat Along agak kemas walaupun buku dan fail bertimbun. Aku kalih ke meja sebelah Along. Dalam banyak-banyak meja, meja itu yang paling kemas.

Seingat aku, Along pernah memberitahu aku bahawa doktor yang bernama Saiful sudah ditukarkan ke Sabah dan mejanya adalah di sebelah Along. Ini bermakna, mungkin meja itu dihuni oleh doktor baru yang menggantikan Doktor Saiful.

Seakan ada daya tarikan, aku bangkit dari kerusi lalu berjalan ke ruangan meja di sebelah. Susun atur dokumen-dokumen di situ buat aku kagum. Sangat teratur. Aku cuba mencari nama doktor tersebut. Sengaja nak menyibuk. Isi masa bosanlah katakan! Sayangnya aku langsung tidak menemui namanya. Nak belek buku, takut tuan meja syak ada penceroboh pula.

Jemari aku mainkan di meja. Entah mengapa, perasaan ini belum puas selagi nama empunya diri tidak diketahui. Aku renung satu-persatu suduh meja itu hinggalah saat mata aku jatuh pada sudut tersorok di sebelah buku tebal itu, aku tersengih nakal. Ada sebuah bingkai gambar yang jatuh menyembah meja di situ. Tanpa berlengah, cepat-cepat aku ambil bingkai gambar tersebut.

“Ya Allah!”

Hanya sebaris ungkapan itu yang mampu aku luahkan tatkala mata tertacap pada foto yang dipamerkan di situ. Dada memang macam nak pecah. Menggeletar tangan aku masa itu. Mujur bingkai gambar ini tak terlepas dari pegangan aku. Kalau tidak, nahas!

Tiga figura dalam foto ini aku tatap tidak berkelip. Gambar ini cukup menunjukkan betapa bahagianya tiga beranak itu. Keluarga yang sakinah!. Si bapa mencium pipi gebu si kecil di sebelah kiri manakala si ibu mencium pipi si kecil di sebelah kanan.

“Bahagianya mereka,”bisikku perlahan.

“Kebahagiaan tidak boleh dinilai hanya pada luaran. Kebahagiaan itu terkesannya pada hati bukan pada wajah. Untuk bibir tersenyum itu mudah tapi untuk hati tersenyum itu payah. Kebahagiaan yang hakiki itu letaknya di hati bukan di bibir.”


Gulp! Suara itu!

Bab 5
Aku tarik nafas sedalam-dalamnya. Masih belum berani untuk menoleh. Tubuh terasa kejung semacam. Leher pula macam sudah hilang tahap fleksibelnya.

 Perlahan-lahan bingkai gambar itu aku kembalikan ke tempat asal tanpa sedikit pun menoleh ke belakang. Dalam hati sibuk berdoa kalau-kalau suara itu hanya mainan perasaan aku tetapi secara logik akalnya, memang taklah. Kemungkinan suara itu milik encik kacak adalah sembilan perpuluhan sembilan sembilan peratus. Ini meja dia dan takkanlah orang lain sesuka hati nak keluarkan ayat menyengat macam tu kan.

“Ehem..Ehem.” Aku berdeham beberapa kali. Sedang mencongak reaksi bagaimana yang perlu aku tunjukkan pada si dia yang kini menyepi. Sepatah perkataan pun tidak keluar dari mulutnya lagi.

‘Nur Adriana, cool. Buat biasa je.Dia dah nampak. Apa lagi yang boleh kau buat. Terima ajelah,monolog hati kecilku.

Aku ketap bibir. Silap aku juga menyibuk hal orang. Jadi terima sahajalah sebarang kemungkinan. Sejujurnya, bukan aku takut dimarahi encik kacak tetapi aku takut jantung aku tidak dapat diselamatkan tika mata kami bertaut. Lagi-lagi daripada pendengaran aku tadi, jarak di antara aku dan dia tidaklah jauh mana.

Dengan kedua belah tangan aku tautkan sepuluh jemari ini, lambat-lambat aku memalingkan wajahku. Satu.. Dua.. Tiga..

***

Aku diam seribu bahasa sepanjang perjalanan pulang ke rumah. Aku biarkan saja Along memandu kereta kesayanganku meski selalunya aku pantang orang lain memandu kereta aku melainkan papa dan mama sebab aku tahu kedua ibu bapa aku cermat orangnya. Along pula spesis lasak. Memandu macam hantu. Tak nampak gaya doktor langsung.

“Riana, kenapa ni? Marah Along lambat?” soal Along tidak berpuas hati aku tak melayan boraknya.

Aku gelengkan kepala. Mood hendak melayan bualan Along hilang dibawa terbang suara misteri. Sungguh otak aku waktu itu sedang ligat memikirkan suara yang aku dengar.

Sewaktu aku berpaling untuk mengaku bersalah di bilik pakar tadi, aku bungkam. Aku tenyeh-tenyeh mata dua tiga kali dek tidak percaya dengan apa yang aku lihat. Ternyata tiada sesiapun di situ. Aku tepuk pipi sampai naik pijar takut-takut aku bermimpi dan jawapannya juga sama. Memang tiada sesiapa di situ sehinggalah aku nampak kelibat Along berjalan masuk melalui pintu yang bersambung dengan Dewan Bedah Intan.

“Along..” panggilku.

“Erm. Apa? Apa masalah adik Along seorang ini dari tadi senyap je. Dahla biar orang bercakap sorang-sorang.”

Aku mengeluh. Sebenarnya aku dalam dilema. Tak tahu sama ada wajar untuk aku bertanya ataupun tidak tetapi apabila aku fikir-fikirkan, lebih baik aku membuka mulut. Iyalah, selagi aku tidak bertanya pada Along, sampai bila-bila aku dibelenggu kekacauan. Silap-silap boleh kena masalah jiwa.

“Along, doktor sebelah meja Along tu Doktor Saiful kan?” Aku membuka bicara. Sengaja aku mulakan dengan soalan pendahuluan. Maklumlah, nak masuk rumah orang pun kena bagi salam dulu. Tak boleh main terjah. Kalau tidak, niaya. Pelajaran untuk aku jugak!

Along pandang aku sekilas sebelum mengalih pandangan semula ke jalan raya.

“Doktor Saiful dah lama pindahlah. Kenapa?”

“Tak ada. Saja Riana tanya. Lepas tu, dah ada pengganti ke, Along?” Penyiasatan oleh Detektif Nur Adriana bermula.

Along yang seperti tidak mengesyaki apa-apa, menjawab seperti biasa. “Dah ada. Baru je masuk lebih kurang seminggu lebih. Doktor Ezzat. Cardiothoracic Anaest,”jelas Along.

Aku jatuhkan kepala. Jadi tiga maklumat baru mengenai encik kacak telah aku peroleh dengan senangnya.

Pertama, encik kacak memang orang baru. Patut sebelum ini tak pernah nampak.

Kedua, encik kacak rupanya bernama Ezzat dan..

 Ketiga dia merupakan seorang Pakar Bius Jantung.

Bukan calang-calang orang rupanya. Patutlah aura dia terkesan hingga ke jantung. Pakar bab jantung rupanya. Haih! Merepek lagi.

“Erm. Along, tadi Doktor Ezzat dah balik ke?”

Soalan maut tu. Nampak pula aku gatal. Walhal aku ingin mendapatkan kepastian perihal suara misteri tadi.

“Entahlah. Along rasa dia dah balik. Kenapa tiba-tiba tanya macam tu?” Along sudah mula cuak. Mana taknya, ini kali pertama Nur Adriana jadi minah kepochi. Selalunya aku tidak pernah ambil tahu soal tempat kerja Along melainkan dia yang memberitahu aku sendiri.

“Erk.. Tak ada. Along, nanti singgah masjid iya. Maghrib dah ni.” Aku lantas mengalih topik. Tak kuasa pula nanti hendak menjawab soalan Along yang mengalahkan polis pencen nanti.

Dalam pada yang sama jawapan Along sekejap tadi mengganggu aku. Kata Along, encik kacak dah balik tapi aku pasti itu suara encik kacak. Haih.. Agaknya betullah encik kacak ni pelihara pelesit ke hantu raya ke.

Nur Adriana, jangan buat pasal. Kang jembalang-jembalang tu ikut aku balik, tak ke niaya! 

Bakal terbit. Limited Edition. - 100 buah sahaja untuk cetakan pertama. Boleh masukkan nama anda di grup saya jika  berminat! 
https://www.facebook.com/notes/cerita-cinta-meeyalisha/survey-mini-novel-djs-limited-edition/315937485230826

4 comments: